Kerajaan Perlu Benarkan Pengeluaran KWSP Bersasar Dengan Bersyarat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan perlu membenarkan pengeluaran Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Beliau berkata, pengeluaran secara bersasar hanya melibatkan jumlah yang kecil berbanding aset keseluruhan di bawah pengurusan KWSP yang mencecah hampir RM1 trilion.

“Sebelum ini, Kerajaan telah membenarkan empat pengeluaran KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas KWSP berjumlah RM145 bilion, melibatkan 8.1 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Saya berharap KWSP tidak terlalu mementingkan pelaburan untuk mendapatkan pulangan yang besar semata-mata, sedangkan pencarum pada hari ini hidup merana,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, masih ramai rakyat yang terdesak untuk meneruskan kehidupan pada waktu ini.

Tambah Ismail Sabri kerajaan wajar memahami kesulitan yang dialami rakyat khususnya yang bergelut dengan hutang.

“Baru-baru ini, Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia (PWRN) telah bertemu saya. Ada di antaranya telah muflis kerana tidak mampu untuk membayar hutang,” tambah Ismail.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mencari alternatif untuk membantu rakyat tanpa perlu membenarkan pengeluaran KWSP.

BBerkaitan

Latest articles