TAMPIN, — Kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi memastikan pekebun kecil kekal berdaya saing di pasaran global, di samping meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pensijilan MSPO bukan sekadar memenuhi piawaian antarabangsa, malah menjadi bukti bahawa industri sawit Malaysia diurus secara mampan, mematuhi undang-undang serta menjaga kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemantapan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pekebun Kecil Sawit Daerah Tampin di Balai Raya Kampung Tengah, Gemencheh, Negeri Sembilan semalam.
Menurut beliau, sehingga 31 Mei 2026, seramai 197,933 pekebun kecil di seluruh negara telah memperoleh pensijilan MSPO. Di Negeri Sembilan pula, seramai 4,648 pekebun kecil melibatkan lebih 16,300 hektar telah disijilkan, manakala di daerah Tampin seramai 785 pekebun kecil melibatkan lebih 4,100 hektar telah menerima pensijilan tersebut.
Noraini berkata, kerajaan menanggung sepenuhnya kos pensijilan MSPO bagi pekebun kecil persendirian termasuk yuran audit, latihan serta khidmat bimbingan daripada pegawai MPOB dan Pegawai TUNAS bagi memudahkan proses pensijilan.
Beliau turut mengingatkan pekebun kecil supaya memastikan lesen MPOB sentiasa sah serta menjual hasil sawit kepada peniaga atau pengilang berlesen bagi melindungi hak mereka dan memastikan rantaian bekalan lebih teratur.
Selain itu, kerajaan melalui MPOB menyediakan pelbagai bantuan termasuk skim tanam semula, khidmat nasihat Pegawai TUNAS, kawalan penyakit Ganoderma dan galakan penggunaan mekanisasi bagi meningkatkan hasil kebun. Di Negeri Sembilan, sebanyak 190 permohonan di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 telah diluluskan, termasuk 11 permohonan di daerah Tampin melibatkan hampir 37 hektar kawasan tanaman.
Noraini berkata penggunaan teknologi seperti mesin penuai sawit mampu meningkatkan produktiviti daripada sekitar 1.8 tan kepada 3.2 tan sehari bagi setiap pekerja, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh. Beliau turut menggalakkan pekebun kecil memanfaatkan koperasi bagi berkongsi penggunaan mesin serta memperkukuh pemasaran hasil sawit secara berkelompok.
Beliau berkata kerajaan akan terus membantu pekebun kecil melalui MPOB menerusi latihan, skim bantuan, khidmat nasihat dan penggunaan teknologi bagi memastikan industri sawit negara kekal mampan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.










