KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh akidah dan keimanan umat Islam di Malaysia akan dipergiat menerusi agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya mengambil maklumkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini berkenaan usaha pemantapan akidah.
Malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri bagi memperhebat usaha dakwah serta memperkukuh kefahaman Islam.
“Titah DYMM Sultan Selangor agar umat Islam terus berusaha memperkukuh akidah dan iman akan segera dilaksanakan melalui Jakim, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), serta TV Alhijrah.
“Langkah ini turut melibatkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa agama Islam negeri bagi memastikan usaha dakwah dan pengukuhan akidah dapat diperluas kepada umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Na’im merujuk kepada titah Sultan Sharafuddin yang menzahirkan pendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis perayaan penganut agama lain.
Baginda bertitah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama memerlukan toleransi dalam beragama, yang tidak seharusnya dikompromi.
Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan itu tidak bersesuaian dengan keadaan semasa, terutama ketika rakyat sedang berusaha mengeratkan perpaduan pelbagai kaum dan agama.
Sultan Sharafuddin turut menasihati umat Islam, khususnya di Selangor, agar terus memperkukuh akidah dan iman, sambil mengingatkan setiap rakyat supaya menghormati serta mengakui Islam sebagai agama Persekutuan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Dalam pada itu, Mohd Na’im memaklumkan bahawa Jakim akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara bagi menganjurkan program Dialog Harmoni yang bertujuan memupuk perpaduan dalam negara.
“Selain itu, platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama juga akan digunakan untuk memperkukuh keharmonian serta interaksi antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam,” katanya.