Kerajaan Perkenal ID Khas Untuk Golongan Bersasar Beli Minyak Masak Paket

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan subsidi bersasar tidam disalahguna, kerajaan akan memperkenalkan pengenalan diri khas (ID) untuk mereka yang layak untuk mendapatkan minyak masak berpaket, mulai tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh bagi memastikan ia disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan dan tidak berlaku penjualan kepada yang tidak layak.

“Pada ketika ini Kerajaan keluarkan 60 juta paket minyak masak bersubsidi setiap bulan, akan tetapi aduan di terima ialah ia tidak boleh didapati di pasaran dan selalu habis.

“Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID (pengenalan diri) dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak yang paket bersubsidi ini.

“Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, sekiranya dihadkan pembelian kpd 3 kilogram (kg) atau 5kg, peniaga akan bermasalah.

“Lagi satu ialah golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak masak paket. Maka perlu kepada ID yang berbeza,” ujarnya.

Julai lalu, Fuziah menyatakan kerajaan akan melaksanakan kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar mulai tahun depan dan seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti dan layak berada dalam kumpulan itu.

Beliau berkata, kementerian juga akan menambah kira-kira satu juta pengguna dalam kalangan usahawan mikro seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor.

Pada 11 Sept, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata program bersubsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan menerusi sistem pangkalan data utama (Padu).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu juga berkata kerajaan bersetuju menubuhkan Padu untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

BBerkaitan

Latest articles