Kerajaan Perinci Langkah Jangka Panjang Kurangkan Risiko Banjir

TEMERLOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan memfokuskan usaha dalam mencari penyelesaian jangka panjang secara holistik dalam isu banjir di negara ini.

Ini juga termasuklah usaha mengurangkan risiko dan kerosakan disebabkan bencana itu.

Menurut Ismail Sabri, selepas urusan berkaitan pasca banjir berakhir, katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan membincangkan isu berkaitan dan penyelesaian terbaik bagi menangani bencana berkenaan dalam skala lebih besar pada masa akan datang.

“Langkah mitigasi untuk menangani banjir akan menjadi keutamaan kerana dalam mesyuarat Oktober lalu, kita sudah bincangkan langkah jangka pendek dan jangka panjang.

“Secara kebetulan banjir melanda dan setakat ini, sejumlah RM1.4 bilion sudah dibelanjakan bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

“Angkanya akan meningkat sebaik kita mendapat laporan terperinci berkaitan banjir.

“Isu berkaitan banjir dan penyelesaian bersesuaian akan dikenal pasti. Sebagai contoh, kita akan dalamkan sungai selepas mendapat laporan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Di Kedah, mungkin kita perlu dangkalkan tali air, bina tebing konkrit di sepanjang sungai bagi mengelak air daripada melimpah,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bantuan banjir Keluarga Malaysia d Lanchang, hari ini.

BBerkaitan

Latest articles