KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan akan terus membanteras ekonomi gelap, termasuk penyeludupan dan aktiviti haram lain, namun proses itu memerlukan masa kerana melibatkan sistem yang sudah lama rosak dan bersifat sistemik.
Sejak dua tahun lalu, pelbagai langkah telah diambil oleh pihak berkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), termasuk tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Beberapa kelompok kartel, termasuk kegiatan ekonomi gelap di Pelabuhan Klang, yang menyebabkan penyeludupan berleluasa selama puluhan tahun, kini telah diambil tindakan. Namun, disebabkan sistem yang rosak dan bobrok secara sistemik, proses ini mengambil masa,” kata beliau.
Anwar menambah, beliau akan melaporkan ke Parlimen mengenai langkah-langkah yang telah diambil bagi menangani masalah ekonomi hitam di negara ini.
Kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai usaha kerajaan menangani ekonomi hitam yang didakwa semakin serius.










