Kerajaan Pasang CCTV Berteknologi Tinggi Di Lokap Maritim, AADK Seluruh Negara

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di semua pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Anwar berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah strategik kerajaan di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS), yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan pemantauan kawasan tahanan, malah memastikan keselamatan tahanan lebih terpelihara.

“Kerajaan mengambil serius cabaran semasa yang dihadapi agensi penguatkuasaan, termasuk isu keselamatan dan pemantauan. Pelaksanaan ini penting bagi menutup ruang kelemahan serta memperkukuh ketelusan dalam sistem tahanan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Selain isu tahanan, mesyuarat itu turut memberi perhatian kepada pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara yang semakin berulang dan menjejaskan kedaulatan maritim serta rezeki nelayan tempatan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu kedaulatan. Mesyuarat bersetuju agar kerjasama strategik dengan negara-negara berkaitan diperkukuh bagi menangani masalah pencerobohan ini,” jelas Anwar.

Tambah beliau, reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui JKKTN mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan perkhidmatan awam lebih responsif, telus dan berkesan dalam mendukung keselamatan negara.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan cadangan menaik taraf sistem CCTV dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang disambungkan ke pusat kawalan, bagi mengurangkan risiko insiden tidak diingini di lokap.

BBerkaitan

Latest articles