Kerajaan Pantau Ugutan Video Lucah Palsu AI, Fahmi Tegas Penjenayah Akan Diburu

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil serius ancaman e-mel ugutan berunsur video lucah palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menyasarkan beberapa wakil rakyat, termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sendiri.

Menurut Fahmi, e-mel berkenaan menuntut bayaran AS$100,000 (RM470,000) sebagai syarat untuk menghalang penyebaran rakaman yang direka, selain menyertakan tangkap layar video palsu.

“Hasil semakan mendapati kandungan ugutan itu sama dan dihantar daripada alamat e-mel yang serupa,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara individu lain yang turut menerima ugutan serupa ialah Datuk Seri Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), Dr Taufiq Johari (Ahli Parlimen Sungai Petani), Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Najwan Halimi (Exco Selangor), Senator Manolan Mohamad, Wong Chia Zen (ADUN Kulim) dan Dr Fahmi Ngah (Exco Selangor).

Bagi memastikan dalang jenayah ini dikesan, Fahmi berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Penjenayah menggunakan aplikasi Gmail untuk menghantar e-mel ugutan ini. Pihak berkuasa sedang menjejak mereka,” jelasnya.

Fahmi turut menegaskan, tindakan menghantar komunikasi jelik berunsur ugutan adalah kesalahan serius mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 503 Kanun Keseksaan.

“Kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi untuk menipu, mengugut atau menjatuhkan maruah individu.

“Penjenayah mesti dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles