Kerajaan Pantau Kemasukan Pelancong Luar Negara Elak Jangkitan Menular

Kerajaan Malaysia akan pasti memantau kemasukan pelancong dari negara lain melalui beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang sudah sedia ada untuk memastikan jangkitan wabak COVID-19 tidak kembali menular seperti sebelum ini.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata berdasarkan keperluan semasa, kerajaan akan membuat kajian semula untuk meneliti apa-apa SOP yang perlu ditambah baik atau diubah untuk kesejahteraan rakyat negara ini.

“Kita telah mempuyai SOP yang telah sedia ada yang telah dikemaskini oleh MOH (Kementerian Kesihatan). Pihak kementerian dan kerajaan akan membuat rujukan semula tentang kriteria-kriteria yang perlu diperhatikan.

“Ada beberapa negara yang meningkatkan tahap keselamatan mereka seperti Amerika Syarikat yang memastikan ada ujian saringan COVID-19 sebelum datang ke sana terutamanya dari negara China. Saya dapat tahu juga dari Itali telah juga memerlukan ujian saringan dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, para penggiat industri akan akur dengan keputusan kerajaan walaupun kehadiran pelancong dari luar negara amat diperlukan untuk kembali meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

“Kita (pengusaha) hendak dan teruja untuk menerima kehadiran pelancong dari China tetapi kita kena memastikan keselamatan diutamakan dan kita harap dengan adanya pemantauan yang bagus kita boleh kurangkan penyebaran wabak atau COVID-19,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Grand Barakah, semalam.

Negara China akan kembali membuka sempadannya pada 8 Januari depan selepas ditutup dekat tiga tahun berikutan pandemik COVID-19.

Ketika ini pun, jumlah kes penyakit berjangkit itu di China agak tinggi dan negara itu mengambil langkah untuk melonggarkan sedikit peraturan kawalan berkaitan COVID-19 untuk kembali merancakkan ekonomi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Shahrin Mokhtar berkata industri pelancongan di negara ini akan mematuhi apa sahaja ketetapan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan tentang kehadiran pelancong khususnya dari China.

“Kita (Malaysia) memang tunggu pembukaan (sempadan) China ini kerana ia menyumbang dalam jumlah ketibaan yang amat tinggi untuk Malaysia.

“Kita akan patuh pada keputusan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Selain itu Uzaidi berkata kemasukan pelancong dari China akan datang ke Malaysia perlulah melalui agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) supaya kemasukan mereka boleh dipantau.

“Agensi pelancongan yang berdaftar akan memantau, kita tahu mereka datang ke sini berapa hari… Saya menyarankan kalau boleh diketatkan penguatkuasaan supaya pelancong datang ke sini melalui agen pelancongan sah,” kata Uzaidi.

Sementara itu, sidang media semalam juga diadakan untuk melancarkan pertandingan memancing Fish Tales Cup 2023 Global Chinese Pro Challenge yang akan diadakan di Kuala Rompin, bermula dari 18 hingga 22 Ogos 2023 nanti.

MITA akan menganjurkan bersama pertandingan berkenaan yang akan mensasarkan penyertaan kira-kira 500 pemancing berbangsa Cina dari seluruh dunia.

BBerkaitan

Latest articles