PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius jumlah pelajar-pelajar dalam bidang STEM yang ketika ini adalah pada kadar 47 peratus dan sains tulen sebanyak 19 peratus.
Beliau menjelaskan, minat para pelajar dalam bidang STEM perlu dipertingkat dan Kementerian Pendidikan diarah menerajui Hala Tuju STEM selain kepentingan mengetengahkan STI di peringkat komuniti melalui Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).
“Usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ini adalah satu langkah baik dalam memperkasa inovasi di peringkat akar umbi yang mampu menganjakkan pengagihan ekonomi inklusif.
“Ia merangkumi semua peringkat pendapatan terutama B40 dan M40 dengan memfokuskan kepada pengaplikasian teknologi tempatan di peringkat akar umbi,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail turut berkata Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri selari dengan Revolusi Industri 4.0 yang dijangka menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun.
Perdana Menteri berkata, ia merangkumi bidang pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan serta pembangunan produk nanoteknologi yang memberi banyak faedah sosioekonomi kepada negara termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan.
Menurut beliau, jumlah itu merangkumi pekerja berkemahiran tinggi (5,968 orang), separuh mahir (24,755 orang) dan kurang mahir sebanyak 2,668 orang.
“Pembangunan produk nanoteknologi adalah seperti vaksin, ubat terapi kanser, peranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal mempunyai permintaan tinggi di pasaran global yang akan melonjakkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara itu dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pertama bagi tahun ini yang dipengerusikan Perdana Menteri semalam bagi membincangkan pelbagai usaha kerajaan bagi merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.
Ia berlandaskan tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Mesyuarat berkenaan juga membincangkan penawaran (modal insan) dan permintaan (pasaran pekerjaan) dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk meningkatkan daya saing STI negara.