MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka menegaskan tiada keperluan sama sekali untuk mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), termasuk Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, melepaskan jawatan susulan desakan pihak tertentu.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, dakwaan dan tekanan yang dimainkan adalah tidak berasas serta tidak menggambarkan situasi sebenar pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut beliau, fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan kelangsungan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat, bukannya melayan spekulasi politik yang hanya berpotensi mengganggu kestabilan pentadbiran.
“Sebarang spekulasi atau tekanan politik yang tidak berpaksikan fakta hanya akan menjejaskan tumpuan kerajaan dan langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat atau negeri,” katanya seperti mana yang dilaporkan Malaysia Gazette.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak mencetuskan desakan agar Dr Akmal mengundurkan diri daripada jawatan yang disandangnya.
Abdul Hakim turut menegaskan bahawa Dr Akmal selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan Exco Kerajaan Negeri telah melaksanakan tugas serta amanah yang dipertanggungjawabkan dengan baik.
“Kerajaan negeri kekal komited untuk mentadbir secara berhemah, berorientasikan prestasi serta berteraskan kepentingan rakyat, dan tidak akan terheret dengan polemik politik yang bersifat spekulatif,” katanya lagi.










