Kerajaan Mahu Teruskan Perolehan Kapal Tempur Pesisir

LANGKAWI: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengumumkan bahawa kerajaan akan meneruskan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang sebelum ini berdepan masalah.

Mohamad memaklumkan kontraktor utama pembinaan, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan dijadikan sebagai anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

Menjelaskan lebih lanjut, keputusan meneruskan pembinaan lima Kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV) Berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) itu dibuat kerana segala peralatan, terutamanya set enjin, turbin, generator, kotak gear, shaft dan propeller sudah diperoleh.

“Kementerian Pertahanan dan BNS telah memeterai Perjanjian Kontrak Tambahan Keenam, hari ini, bagi meneruskan pembinaan lima kapal LCS, yang akan diberi tumpuan sepenuhnya.

“Selaras perkembangan ini, Kementerian Pertahanan, TLDM dan BNS akan bersama melangkah ke hadapan bagi memastikan projek LCS berjaya disempurnakan.

“Perolehan ini penting dalam meningkatkan keupayaan armada TLDM bagi memelihara kedaulatan perairan negara,” katanya pada sidang media sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23), hari ini.

Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian tambahan berkenaan dilakukan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan; Datuk Seri Muez Abd Aziz, yang mewakili kerajaan, manakala BNS diwakili Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan bahawa pelaksanaan projek LCS akan dipantau perunding pengurusan projek (PMC), yang dipengerusikan secara bersama KSU Perbendaharaan dan KSU Kementerian Pertahanan supaya kemajuan projek dapat dipantau semua pihak.

Malah laporan berkala mengenai pembinaan LCS dan pembentangan secara berjadual kepada Kabinet, perlu dibuat tiga bulan sekali seperti ditetapkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Ini bagi memastikan hasrat membina LCS dapat dicapai dan berjaya seperti dikehendaki TLDM dan Angkatan Tentera Malaysi (ATM), dengan LCS pertama dijangka dapat disiapkan pembinaan pada 2024 dan ditauliah pada 2026.

“Kita tidak ada jalan pintas bagi mempercepatkan pembinaan semua LCS kerana setiap kapal perlu menjalani proses ujian di pelabuhan dan laut, selain ujian persenjataan sebelum ia boleh ditauliahkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles