KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemasukan pengembara dari luar negara ke Malaysia akan dikawal dengan lebih ketat, tanpa menumpukan kepada mana-mana negara.
Anwar menegaskan masalah kesihatan rakyat merupakan kepentingan utama, begitu juga soal pelancongan serta pertumbuhan ekonomi sekali gus tidak boleh mengatasi kepentingan mengawal dan merawat rakyat daripada segi wabak serta jangkitan, termasuk COVID-19.
“Sekarang kita tidak ambil pendirian untuk mendiskriminasi mana-mana negara kerana kalau dilihat kadar jangkitan di China, kita tahu kematian di Amerika Syarikat (AS) juga tinggi dan beberapa negara lain.
“Kita ambil tindakan menyelamatkan rakyat kita, jadi sesiapa saja yang masuk harus dipantau dan dikenakan syarat sama,” katanya di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.