Kerajaan MADANI Salur RM800 Juta Bantuan Awal Persekolahan, Ekonomi Tunjuk Petunjuk Positif Awal 2026

PUTRAJAYA — Kerajaan MADANI terus memperkukuh kebajikan rakyat pada awal tahun 2026 apabila menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada setiap murid sekolah, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM800 juta.

Dalam satu taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan YAB Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah, beliau memaklumkan bantuan berkenaan disalurkan secara berperingkat bermula 11 Januari lalu dan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid termasuk pelajar Tingkatan Enam, sekali gus membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga pada permulaan sesi persekolahan .

Menurut taklimat itu, inisiatif berkenaan selari dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa sistem pendidikan negara dan memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan dasar.

Dalam pada itu, landskap ekonomi negara turut menunjukkan petunjuk awal yang memberangsangkan apabila kadar pengangguran negara kini berada pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu 2.9 peratus, mencerminkan kestabilan pasaran pekerjaan serta keupayaan ekonomi untuk menyokong peluang pendapatan rakyat .

Prestasi ekonomi turut disokong oleh pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku keempat 2025 yang berkembang sebanyak 5.7 peratus, sekali gus membawa pertumbuhan keseluruhan tahun 2025 kepada sekitar 4.9 peratus, mengatasi unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus .

Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa dalam persekitaran global yang mencabar, langkah penyesuaian dasar dan pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan telah membantu mengekalkan kestabilan ekonomi domestik, di samping melindungi kepentingan rakyat serta kuasa beli golongan memerlukan .

Selain itu, Kerajaan MADANI turut meneruskan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun 2026 dengan peruntukan keseluruhan RM15 bilion, yang merupakan peruntukan tertinggi setakat ini dan dijangka memanfaatkan kira-kira 9 juta penerima .

Bagi SARA Bulanan 2026, penyaluran telah bermula pada 9 Januari melibatkan 5 juta penerima, manakala penyaluran kepada kategori bujang melibatkan 3.1 juta penerima bermula hari ini. Secara keseluruhan, program SARA tahun ini melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan RM8 bilion, meningkat berbanding RM5 bilion pada 2025 .

Kerajaan turut menyasarkan peningkatan bilangan kedai runcit kecil yang terlibat dalam program SARA kepada 10,000 buah menjelang akhir 2026 bagi memudahkan penerima serta merangsang ekonomi setempat dan perniagaan kecil dan sederhana .

Akhir taklimat, Pejabat Perdana Menteri menegaskan kerangka Ekonomi MADANI akan terus menjadi asas pengurusan ekonomi negara dengan penekanan kepada pertumbuhan seimbang, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat, selain menyampaikan ucapan Salam Israk dan Mikraj kepada umat Islam di negara ini .

BBerkaitan

Latest articles