KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI terus komited untuk menzahirkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memenuhi segala tanggungjawab perlembagaan terhadap Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan terhadap pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat di sini hari ini, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengarahkan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan MADANI telah sedaya upaya menyelesaikan segala tuntutan MA63, meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah, dan menambah peruntukan mengurus serta pembangunan setiap tahun demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.
Smentara itu, Anwar turut memaklumkan bahawa sejak penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, sebanyak 13 tuntutan MA63 telah berjaya diselesaikan setakat ini.
Antara yang telah dipersetujui ialah penyerahan kuasa kawal selia tenaga elektrik serta Sabah Electricity Sdn Bhd kepada Kerajaan Sabah, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182, dan pelantikan wakil tetap Sabah serta Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Langkah-langkah ini membuktikan bahawa komitmen terhadap MA63 bukan sekadar retorik, tetapi sedang diterjemahkan dalam bentuk kuasa dan tanggungjawab yang nyata,” katanya.
Pemberian Khas Dinaikkan Kepada RM600 Juta
Menyentuh soal kewangan negeri, Anwar menjelaskan bahawa Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah telah dinaikkan secara berperingkat daripada RM26.7 juta kepada RM600 juta setahun — peningkatan hampir 20 kali ganda sejak 2021.
Beliau berkata pembayaran penuh kadar terkini itu telah disempurnakan kepada Kerajaan Sabah pada 10 September lalu.
“Kadar RM600 juta ini adalah bersifat interim sementara kaedah baharu sedang dirumuskan bersama untuk menentukan perkiraan pemberian khas yang lebih adil dan lestari,” jelasnya.
Perbelanjaan Persekutuan Lebih Tinggi Daripada Hasil Sabah
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa perbelanjaan sebenar Kerajaan Persekutuan di Sabah jauh melebihi hasil yang dikutip dari negeri itu.
“Hasil yang dikutip sekitar RM10 bilion setahun, sedangkan perbelanjaan Persekutuan mencecah RM14 bilion bagi 2023 dan 2024, serta dijangka meningkat kepada RM17 bilion bagi 2025 dan 2026,” katanya.
Beliau menambah bahawa perbelanjaan itu meliputi pemberian negeri, subsidi bahan api, serta projek pembangunan utama seperti Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta), Jalan Kalabakan–Simanggaris (RM416 juta) dan talian penghantaran elektrik Southern Link Fasa 1A (RM200 juta).
Projek Strategik dan Sektor Tenaga
Anwar turut memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B bernilai RM14 bilion serta memperuntukkan RM1 bilion untuk projek air yang dijangka siap pada tahun hadapan.
Selain itu, melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Petronas dan Kerajaan Sabah, syarikat minyak dan gas tempatan telah berjaya memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024, manakala hasil cukai jualan petroleum Sabah menjana tambahan pendapatan sekitar RM2 bilion sejak 2022.
Anwar menegaskan bahawa komitmen Kerajaan MADANI terhadap Sabah bukan hanya soal peruntukan kewangan, tetapi cerminan tekad untuk mengukuhkan keadilan antara wilayah dan memperkasa perpaduan nasional melalui semangat MA63.
“Segala obligasi Persekutuan kepada Sabah akan terus dipenuhi selaras dengan kemampuan fiskal negara dan keperluan rakyat negeri ini. Inilah tekad Kerajaan MADANI — dan sepertimana janji-janji lain, ia akan direalisasikan,” katanya