Kerajaan Laksana Darurat Kerana Fikirkan Rakyat, Kata Azmin

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan lebih bertanggungjawab apabila menyentuh isu pengisytiharan darurat memandangkan pelaksanaannya melibatkan kepentingan rakyat.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sambil menambah Anwar tidak sepatutnya mengheret rakyat dalam isu berkenaan di kala rakyat memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan termasuk mangsa dan pesakit COVID-19.

“Ini adalah isu rakyat. Ini adalah isu keselamatan rakyat dan kesihatan rakyat. Jangan berpolitik berpanjangan.

Mereka boleh memberikan pandangan dan kritikan kepada kerajaan tetapi jangan bermain politik sehingga memberi kesan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan ketika misi bantuan kemanusiaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi di bawahnya di Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Tinggi, Johor, semalam.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada Khamis lalu memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen untuk mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menarik balik pengisytiharan darurat.

Selain membatalkan darurat, Ketua Pembangkang itu juga berharap agar Seri Paduka menitahkan sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, meskipun darurat dilaksanakan, ia tidak menganggu perjalanan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memandangkan tanggungjawab utama mereka adalah membantu rakyat.

BBerkaitan

Latest articles