Kerajaan kutip RM35.1 juta menerusi Program Rekalibrasi Pulang

Kerajaan berjaya mengutip RM35.1 juta daripada kompaun dan bayaran pas khas yang dikeluarkan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Program Rekalibrasi Pulang sejak ia dilancarkan pada November lalu sehingga semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, seramai 72,324 PATI telah mendaftar untuk pulang manakala 73,506 lagi mendaftar bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Ada yang sudah dihantar pulang dan ada lagi yang masih mahu bekerja. Apa yang kita lakukan adalah pastikan mereka yang ada dalam negara ini bekerja dengan dokumen yang sah, itu yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“RM35.1 juta telah kita peroleh dan 145,830 PATI telah berjaya kita daftarkan. Ini menunjukkan program tersebut telah pun mencapai satu angka yang boleh kita banggakan.

“Ramai orang punya persepsi seolah-olah begitu ramai mereka yang tiada mempunyai dokumen berada dalam negara kita. Tetapi apabila kita lakukan program ini barulah kita sedar bahawa itu semata-mata persepsi.

“Ini menunjukkan selama ini JIM telah melakukan kerja-kerja pengusiran dan operasi yang dilakukan dengan amat berjaya sekali,” beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 JIM semalam. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, JIM perlu memastikan kesemua warga asing yang berada di negara ini mempunyai dokumen sewajarnya bagi memudahkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai imuniti kelompok seperti dikehendaki oleh kerajaan.

“Kita memerlukan mereka ini untuk diberikan vaksin sebab itu Imigresen mesti melakukan kerja yang paling utama, nak menentukan 70 peratus daripada penduduk dalam negara kita ini akan mendapat vaksin salah satu daripadanya adalah daripada golongan warga asing.

“Sebab itu saya meminta kepada JIM untuk pastikan segala warga asing yang ada dalam negara ini boleh keluar bekerjasama dengan kita untuk mereka menerima vaksin yang telah diaturkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Pada 12 November lalu, kerajaan bersetuju melaksanakan Pelan Rekalibrasi PATI yang merangkumi dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Program Rekalibrasi Pulang merupakan program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula merupakan suatu program khas untuk mengurus PATI di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat-syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan melalui JIM dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia

Latest articles

Related articles

spot_img