KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengurangkan subsidi telur ayam daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji bermula esok, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025, menurut kenyataan rasmi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
KPKM menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin, berikutan kos pengeluaran yang kini semakin stabil.
“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu, di mana ketersediaan bekalan mencukupi dengan harga yang kompetitif,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, pada 17 Jun 2024, kerajaan telah menurunkan harga telur gred A, B dan C masing-masing sebanyak 3 sen kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji.
KPKM turut memaklumkan bahawa kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion dalam bentuk subsidi telur ayam sejak Februari 2022 hingga Disember 2024 bagi menampung kenaikan kos pengeluaran akibat pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Rusia terhadap harga import soya dan jagung bijian.
“Kerajaan juga mengambil kira bahawa tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kedudukan kewangan negara,” kata kementerian itu.
Dalam masa sama, langkah penyasaran semula subsidi ini dianggap lebih adil memandangkan subsidi turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi dan warga asing.
Menurut KPKM, penjimatan daripada pengurangan subsidi itu boleh disalurkan kepada projek-projek kesejahteraan rakyat yang lebih berimpak.
Bagi mengurangkan kesan terhadap kos sara hidup rakyat, KPKM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan telur gred khas pada harga munasabah sebagai langkah intervensi.
“Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah yang dijalankan di seluruh negara, termasuk di semua cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” menurut kenyataan itu lagi.
KPDN juga akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan menerusi pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga tidak bertanggungjawab.