Kerajaan Kuatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati Dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat Mulai Esok

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan bersetuju dengan kaedah pengendalian prosiding mahkamah berhubung semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat.

Menurut Azalina, persetujuan dicapai pada 30 Ogos lalu daripada cadangan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Pihak-pihak yang terlibat ialah Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society (SLS) dan Advocates Association of Sarawak (AAS) bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM).

“Berikutan daripada penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai 2023, kerajaan selanjutnya akan menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) pada 12 September ini.

“Pelaksanaan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah ini akan membolehkan semua 1,020 banduan yang telah dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, memfailkan permohonan di mahkamah untuk membuat semakan kepada hukuman masing-masing.

“Keutamaan kepada pelaksanaan mekanisme ini merangkumi faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu kerajaan turut bersetuju supaya banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik peguam dalam proses semakan hukuman tersebut boleh mendapatkan khidmat guaman yang dilantik mahkamah.

Persetujuan itu dicapai dalam usaha menjamin akses kepada keadilan dan memelihara prinsip kesaksamaan.

Katanya, bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, boleh mendapatkan khidmat guaman daripada YBGK.

“Kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan ini mencerminkan keutamaan dan pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat Malaysia,” kata beliau.

Jelas Azalina lagi, Penguatkuasaan Akta 847 melalui mekanisme yang dipersetujui Jemaah Menteri turut mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat.

Ini membuktikan prinsip restorative justice dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia sentiasa terpelihara.

“Malah, ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup sebagai rakyat biasa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles