Kerajaan Komited Perkukuh Bantuan, Pembangunan Ekonomi Demi Rakyat

KUALA LUMPUR: Golongan miskin tidak akan sesekali dibelakangkan di sebalik pembangunan ekonomi, pelaburan, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, dan tenaga yang sudah pasti memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan telah memperuntukkan RM13 bilion pada 2025 bagi memastikan golongan M40 dan B40 menerima bantuan secara langsung, memberi manfaat kepada hampir 10 juta rakyat dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang kian meningkat.

Berkongsi pengalaman lawatan rasminya ke UAE, United Kingdom, Brussels, dan Davos, di mana pemimpin dunia menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup, Anwar berkata situasi itu membuktikan bahawa cabaran ekonomi bukan hanya dihadapi Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Selain bantuan langsung kepada rakyat, kerajaan turut menyediakan RM10 bilion untuk kenaikan gaji penjawat awam yang tidak dinaikkan selama 12 tahun, dengan tambahan RM18 bilion lagi akan disalurkan pada 2026.

“Adakah ini cukup? Tidak. Adakah ini menyelesaikan semua masalah? Tidak. Tetapi untuk mengatakan kerajaan tidak berbuat apa-apa selama dua tahun ini adalah tidak adil,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh, hari ini.

Ujar Anwar, kenaikan gaji penjawat awam dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM23 bilion, mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa dasar pentadbiran negara berasaskan prinsip Islam yang menekankan keadilan sosial serta memastikan keperluan rakyat dipenuhi.

Beliau turut menyeru agar pendidikan agama diperkukuhkan bagi membendung pengaruh budaya Barat yang tidak selari dengan nilai tempatan serta pemikiran ekstrem.

“Kita perlu mendidik anak-anak dengan ajaran Islam, memahami hadis dan nilai-nilai murni supaya mereka lebih mantap dalam menghadapi cabaran dunia moden,” katanya.

Dalam konteks global, Anwar menekankan perlunya umat Islam memperkukuh ekonomi, ketenteraan, pendidikan, dan kesihatan bagi memastikan daya saing mereka lebih kukuh.

“Kita lihat apa yang berlaku di Gaza – banyak negara Islam tidak mampu bertindak kerana tidak mempunyai kekuatan. Oleh itu, kita perlu bersatu dan mempertingkatkan martabat kita,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa pembangunan negara bukan sekadar membina kilang dan projek mega, tetapi harus berlandaskan nilai moral dan perpaduan rakyat.

“Jika pertumbuhan ekonomi tidak disertai dengan nilai kemanusiaan, ia akan membawa kepada perpecahan dan ketidakadilan dalam masyarakat,” katanya.

Kerajaan komited untuk memastikan pembangunan negara berlaku secara seimbang dan berasaskan ihsan serta rahmat, demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

BBerkaitan

Latest articles