KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan untuk terus mempergiat usaha menaik taraf kuarters tentera dan polis yang uzur demi memastikan kebajikan serta keselesaan anggota pasukan keselamatan sentiasa terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa pelan tindakan sedang diperhalusi ketika ini, malah kerja-kerja pembaikan di sebahagian kuarters telah pun dimulakan.
Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi membaik pulih perumahan anggota tentera dan polis yang berada dalam keadaan daif.
“Perumahan polis kita sudah ambil tindakan, begitu juga tentera. Kita akan beri fokus yang lebih. Tahun-tahun lepas, RM1 bilion telah diperuntukkan untuk membaiki rumah yang sangat uzur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri serta program Ihya’ Ramadan di kementerian berkenaan, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin Nasution memohon agar Ketua Setiausaha Perbendaharaan mempertimbangkan tambahan peruntukan menerusi Belanjawan akan datang bagi mempercepatkan proses baik pulih dan penambahbaikan kuarters terlibat.
Permintaan itu dilihat selari dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kebajikan anggota keselamatan yang menjadi benteng utama negara.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa usaha membangunkan negara bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen kolektif semua pihak.
“Tanggungjawab membangunkan negara ini bukan terletak pada satu pihak sahaja. Soal keamanan misalnya, bukan hanya tanggungjawab polis. Ia tanggungjawab kita semua,” katanya.
Beliau turut mengajak penjawat awam mengambil kesempatan bulan Ramadan untuk memperbaiki diri, meningkatkan prestasi kerja serta membetulkan segala kelemahan demi memastikan pentadbiran negara lebih teratur dan berkesan.
Perdana Menteri dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta agensi penguatkuasaan lain atas ketangkasan dan kecekapan melaksanakan tugas.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar semua pihak tidak berasa selesa dengan pencapaian semasa.
“Saya bangga dengan prestasi saudara-saudari setakat ini, tetapi jangan kita leka. Kita perlu sentiasa menilai diri dan memastikan prestasi tidak merosot,” tegasnya.










