KUALA LUMPUR,Kerajaan mengumumkan penyelarasan had subsidi minyak di bawah skim BUDI95 berkuat kuasa 1 April ini, sebagai langkah menangani tekanan bekalan global susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran minyak dan gas dunia, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter bagi melindungi kebajikan rakyat. 
Menurut beliau, penyelarasan akan melibatkan pengurangan had kelayakan subsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, selaras dengan corak penggunaan semasa rakyat.
“Data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan sekitar 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter, maka penyelarasan ini tidak menjejaskan sebahagian besar pengguna,” katanya dalam perutusan khas hari ini. 
Dalam masa sama, kerajaan turut memperkenalkan beberapa langkah kawalan bagi memastikan bekalan mencukupi dan diagihkan secara adil.
Antara langkah tersebut termasuk:
• Had pengisian maksimum 50 liter bagi kenderaan ringan setiap pembelian
• Had 100 liter bagi kenderaan pengangkutan bawah 3 tan
• Had 150 liter bagi kenderaan melebihi 3 tan
Langkah ini diambil bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan pengumpulan bahan api yang boleh menjejaskan bekalan domestik. 
Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan mengekalkan harga diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter, mengambil kira faktor geografi dan logistik di kedua-dua negeri tersebut.
Namun, Perdana Menteri menegaskan penguatkuasaan akan dipertingkat bagi mengelakkan ketirisan yang dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan. 
Kerajaan turut memaklumkan bahawa konflik di Timur Tengah, termasuk gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz, telah menjejaskan bekalan minyak dan gas global serta memberi tekanan kepada harga komoditi. 
Situasi itu juga berpotensi memberi kesan kepada bekalan makanan dan baja, sekali gus meningkatkan kos sara hidup jika tidak ditangani dengan segera.
Seru kerjasama rakyat
Sehubungan itu, kerajaan menggesa rakyat supaya memahami keperluan langkah penyelarasan ini sebagai usaha sementara bagi memastikan kestabilan ekonomi dan bekalan tenaga negara.
“Langkah ini mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat, tetapi ia penting untuk menjaga kepentingan ramai serta memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” kata Perdana Menteri. 
Kerajaan turut memberi amaran bahawa sebarang aktiviti penyeludupan akan berdepan tindakan tegas melalui penguatkuasaan menyeluruh oleh agensi berkaitan.










