Kerajaan Kawal RON95 Untuk Rakyat Tempatan, Jualan Diesel Di Malaysia Timur Diperketat

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah lebih tegas dalam menangani ketirisan subsidi bahan api apabila mengumumkan larangan penuh ke atas kenderaan asing daripada membeli petrol RON95, berkuat kuasa 1 April ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat tempatan.

Menurut beliau, langkah berkenaan juga penting dalam memastikan kestabilan bekalan tenaga negara, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.

“Kita tidak akan berkompromi. Mana-mana kenderaan asing atau pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan ini bakal berdepan tindakan tegas,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, KPDN turut memperkenalkan kawalan lebih ketat ke atas penjualan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula minggu ini.

Semua stesen minyak di tiga wilayah itu diarahkan mengehadkan jualan diesel mengikut kategori kenderaan, iaitu antara 50 hingga 150 liter bagi setiap transaksi.

Langkah ini bertujuan memastikan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter tidak disalah guna oleh sindiket penyeludupan atau pihak industri yang tidak layak.

Azman menjelaskan, ketirisan subsidi bukan sekadar isu pembaziran, malah boleh memberi kesan langsung kepada rakyat melalui peningkatan kos logistik.

“Jika tidak dibendung, ia boleh menolak kenaikan harga makanan dan barangan keperluan,” katanya.

Sehubungan itu, KPDN mengambil pendekatan lebih agresif bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil serta mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah.

Dalam usaha penguatkuasaan, seramai 2,400 pegawai KPDN kini berada dalam keadaan siap siaga di seluruh negara.

Menerusi Ops Tiris 4.0, KPDN turut memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan bagi membanteras penyelewengan subsidi.

“Sebarang cubaan mengambil kesempatan dalam situasi ini adalah pengkhianatan kepada negara,” katanya.

Dalam masa sama, orang ramai digesa tampil menyalurkan maklumat berkaitan salah guna subsidi melalui pelbagai saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp, talian hotline dan aplikasi aduan.

Kempen “KITA GEMPUR” turut digerakkan bagi memperhebat usaha membanteras manipulasi serta memastikan setiap sen subsidi benar-benar sampai kepada rakyat yang berhak.

BBerkaitan

Latest articles