Kerajaan Jamin Tiada Kenaikan Harga Minyak Di Sebalik Perang Iran-Israel

ISKANDAR PUTERI: Di sebalik kebimbangan global terhadap kemungkinan lonjakan harga minyak dunia, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak tempatan tidak akan dinaikkan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu diambil demi menjaga kebajikan rakyat dan melindungi kestabilan ekonomi negara.

“Harga minyak dunia memang tidak menentu. Sekarang rendah, tetapi bila naik, ia boleh naik mendadak.

“Namun, kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak, kerana kita tahu impaknya besar kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di Medini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa kerajaan tetap konsisten dalam dasar melindungi kepentingan rakyat meskipun berdepan tekanan pasaran global.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa harga minyak dunia berpotensi mencecah AS$130 setong sekiranya Iran menutup Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan 20 peratus penghantaran minyak global.

Menurut laporan Turkiye Hurriyet yang dipetik agensi Sputnik/RIA Novosti, tindakan itu dikatakan sedang dipertimbangkan oleh Parlimen Iran sebagai tindak balas terhadap serangan rejim Israel.

Selat Hormuz merupakan laluan utama bagi eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) dari negara-negara seperti Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

BBerkaitan

Latest articles