Kerajaan Import 2 Juta Hingga 10 Juta Telur Ayam Sehari Mulai Khamis Untuk Tampung Permintaan

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari akan diimport bermula Khamis ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengimport telur bagi tujuan menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya.

Anwar berkata, jumlah import telur itu sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan import sebanyak 100,000 biji telur.

“Maka kita sudah buat perubahan dengan memberikan import bermula pada 15 Disember, 100,000 biji telur (import) dan mulai 22 Disember (Khamis), dua hingga 10 juta biji telur sehari akan dibawa masuk sehingga keadaan stabil dan keupayaan pengeluaran tempatan terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Wang Masuk) 2022 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu kenaikan harga barang khususnya telur ayam dan ayam sebelum ini berterusan hingga kini disebabkan faktor penentu harga yang mana banyak ditentukan industri, bukannya kerajaan.

“Kita sudah adakan mesyuarat untuk kenaikan harga barang yang menjadi keperluan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (Datuk Seri Salahuddin Ayub) untuk memastikan keperluan itu ada.

“Dalam beberapa minggu, ayam, telur pada 12 Disember, 15 Disember…diimport. Ini masalahnya adalah kartel. Masalahnya menetapkan kepada syarikat besar untuk tentukan harga.

“(Justeru) mesti ada kekuatan politik, tekad untuk menyatakan dalam dasar ekonomi (untuk) maslahat awam dan orang ramai diberi keutamaan,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles