PUTRAJAYA, — Kerajaan Malaysia memberi jaminan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera 15 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel pada 2 Oktober ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hasan telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dan rakan sejawat negara sahabat, termasuk Amerika Syarikat, bagi mendapatkan kerjasama untuk membebaskan mereka.
Kementerian juga memaklumkan bahawa semua yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan sihat. Mereka dijadualkan dihantar pulang melalui negara ketiga, dengan sokongan serta bantuan konsular akan diberikan untuk memastikan kepulangan mereka ke tanah air dengan selamat.
“YB Menteri Luar Negeri turut mengarahkan perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan kerjasama daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv,” kata kenyataan itu.
Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah dan menuntut agar mereka dilayan mengikut undang-undang antarabangsa serta dibebaskan segera.
Kerajaan kekal komited memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara dan akan terus menggunakan semua saluran diplomatik bagi menangani isu ini.