Kerajaan Gabungan Guna Slogan ‘Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran’ Hadapi PRN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam tadi mengumumkan slogan Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran sebagai tema Kerajaan Perpaduan menghadapi pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Dalam masa yang sama, negeri-negeri yang terbabit boleh memilih tema dan slogan tambahan bagi negeri masing-masing.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan malam tadi, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat dalam menghadapi PRN.

Beliau juga melahirkan keyakinan negeri yang mewakili Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan penguasaan di tiga negeri dan menawan tiga negeri yang lain.

“Nampak semangat pendukung setia telah mendapat lonjakan dan saya percaya dengan laporan yang diberikan itu kita boleh bukan sahaja mempertahankan kekuatan di tiga negeri tetapi nampak keyakinan menawan beberapa negeri lain.

“Mesyuarat pada malam ini memberi penekanan yang kuat tentang keperluan keutuhan Kerajaan Perpaduan menjamin kestabilan supaya dapat memacu pertubuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama, Presiden PKR itu turut bangga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin parti komponen untuk terus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu Anwar memaklumkan, Jelajah Perpaduan Madani yang bermula di Selangor akan diteruskan di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Begitu juga dengan isu pembahagian kerusi telah hampir dimuktamadkan di semua enam negeri kecuali bagi beberapa kawasan yang masih memerlukan perbincangan.

BBerkaitan

Latest articles