Projek prasarana dan pembasmian kemiskinan di luar bandar akan menjadi fokus kerajaan sepanjang tahun ini bagi membantu golongan sasar di seluruh negara daripada dipinggirkan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, kementeriannya akan fokus kepada pembangunan infrastruktur yang lengkap untuk jadi pemangkin kemajuan desa termasuk dari segi ekonomi dan modal insan
Sasaran itu katanya, mampu dicapai melalui peruntukan yang dilulus Belanjawan 2021 sebanyak RM10.2 bilion, bertambah 4.41 peratus berbanding 2020.
Ini ujarnya, meliputi RM6.65 bilion peruntukan pembangunan yang perlu dibelanjakan secara optimum dan efektif dengan mengamalkan perbelanjaan kewangan berasaskan keberhasilan.
“Saya berharap agar 539 projek prasarana dirancang tahun ini dilaksanakan mengikut jadual walaupun kita berdepan kekangan tertentu selain cabaran wabak Covid-19,” katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 yang disiar secara langsung menerusi laman media sosial Facebook rasmi kementerian itu hari ini..
Kementerian tersebut jelasnya, juga akan meneruskan fokus bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar susulan pindaan ke atas paras garis kemiskinan nasional pada 2019.
Ini menyaksikan bilangan isi rumah miskin luar bandar naik daripada hanya 78,187 isi rumah kepada 182,116 isi rumah pada 2020 dan dijangka bertambah ekoran suasana getir ketika ini.
Justeru, 20 program berkaitan pembasmian kemiskinan bakal diselaras bagi elak pertindihan selain lebih bersasar untuk beri impak positif kepada nasib golongan miskin tegar luar bandar.
“Tumpuan perlu dihala tiga perkara antaranya mempelopori sumber ekonomi baharu dengan kerjasama pihak Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia,” katanya.
Perkara kedua pula ujar Abd. Latif, dengan perkenal strategi baharu aktiviti pelancongan desa dan ekopelancongan yang terkesan akibat Covid-19 bagi tingkat taraf hidup masyarakatnya.
Manakala pelaksanaan Desamall@KPLB tegasnya, menjadi perkara ketiga perkukuh sistem rantaian bekalan dan pemasaran produk usahawan luar bandar menerusi jualan atas talian.
Selain itu kataya, kementerian juga akan bangunkan premis fizikal dikenali Rural Business Outlet dan menambah baik Pusat Komuniti Desa sebagai hab bantu tingkat jualan usahawan.