Kerajaan Digesa Naikkan Harga Lantai Belian Padi

ALOR SETAR: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh meminta kerajaan supaya menetapkan harga lantai belian padi pada kadar harga yang lebih tinggi iaitu antara RM1,400 hingga RM1,500 per metrik tan.

Katanya, ia berikutan rungutan pesawah yang marah apabila pihak pengilang pada ketika ini membeli padi pada harga sekitar RM1,250 berbanding harga lantai yang ditetapkan kerajaan iaitu RM1,200 per metrik tan.

“Kebiasaannya, harga yang dijual kepada pengilang boleh mencecah sehingga RM1,700 dan RM1,800 per metrik tan.

“Namun pada ketika ini ia hanya boleh dijual pada harga setinggi RM1,250 bagi setiap tan padi yang dihasilkan pesawah,”katanya ketika ditemui di sini.

Ismail berkata, selain harga lantai belian padi, kerajaan juga perlu mencari jalan untuk mengawal atau menstabilkan harga benih padi yang meningkat secara mendadak.

Beliau berkata, keadaan yang berlaku ini amat menyukarkan pesawah selain turut menjejaskan jadual penanaman padi mengikut musim.

Sementara itu, di Kampung Kuar Jawa, Alor Janggus, dekat sini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) berlaku kemungkinan campur tangan kartel dalam menentukan harga belian padi yang menyebabkan harga turun kepada RM1,200 per metrik tan ketika ini.

Pengerusinya, Mohd Fuad Yaacob berkata, pihaknya terkejut apabila harga belian padi di kilang yang sebelum ini sekitar RM1,700 per metrik tan secara tiba-tiba diturunkan kepada RM1,200 mulai 3 Oktober lalu.

“Apa yang berlaku adalah bertentangan dengan kenyataan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood pada September lalu, yang mengarahkan pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) membeli padi pada harga RM1,600 per metrik tan.

“Dalam pertemuan bersama wakil peladang, pengilang, wakil BERNAS, petani, pengeluar benih padi sah dan agensi pertanian di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), arahan kepada BERNAS adalah untuk membeli padi pada harga RM1,600 per metrik tan.


“Sebaliknya berlaku harga turun mendadak…….. adakah ia menunjukkan pihak berkuasa tunduk kepada kartel padi?” katanya.

Terdahulu hampir 200 pesawah berkumpul di Kampung Lahar Budi di sini, bagi mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan campur tangan agar harga belian padi musim ini dikekalkan pada harga RM1,700 per tan metrik.

BBerkaitan

Latest articles