Kerajaan Digesa Lanjut Moratorium Kepada Golongan Yang Memerlukan Sehingga Tamat Pandemik

KUALA LUMPUR: Bagi meringankan beban golongan yang benar-benar terkesan dengan COVID-19, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan lanjutan tempoh moratorium sehingga pandemik benar-benar berakhir.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan itu boleh dimasukkan kerajaan dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 yang akan mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, cadangan itu boleh dilaksanakan kerajaan berdasarkan Fasa 4 dalam RUU itu yang menyatakan, “mana-mana pihak untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontrak yang timbul apa-apa kontrak yang disebabkan oleh langkah-langkah ditetapkan boleh mengguna penyelesaian perantaraan”.

“Saya ingin bertanya, adakah kelonggaran ini hanya diberi dalam Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT) sahaja? Sebab Fasa 5 juga melibatkan kementerian ini.

“Sedangkan, kontrak rakyat ini ada banyak, masa kita pinjam rumah kita buat kontrak dengan bank, masa kita buat pinjaman kenderaan kita buat kontrak dengan bank, masa kita buat pinjaman berniaga pun kita buat kontrak dengan bank.

“Bagaimana dengan moratorium pinjaman bayaran balik untuk rumah, kereta dan perniagaan ini, adakah boleh menggunakan penyelesaian secara perantaraan supaya masalah kesukaran untuk membayar balik pinjaman ini selesai sepenuhnya sehingga pandemik berakhir sepenuhnya,” katanya ketika berbahas bagi RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 di Parlimen, hari ini.

Lanjutan moratorium itu difikirkan perlu apatah lagi dengan timbulnya beberapa varian baharu yang membimbangkan.

Ahmad menambah, jika kerajaan mengehadkan tempoh dari Januari 2021 hingga Disember ini, ia pastinya tidak boleh dianggap sebagai membantu, memandangkan pandemik tidak diketahui bila akan berakhir.

“Oleh itu, saya cadangkan supaya apa yang kita nak pinda (RUU) ini, tempohnya hendaklah dilanjutkan sehingga COVID-19 benar-benar selesai,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles