Kerajaan Digesa Batalkan Operasi Lynas Corp Di Malaysia

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack berharap Menteri Sains, Teknologi dan Inovas, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya kerajaan membatalkan lesen operasi Lynas Corp di Malaysia selepas ia dikatakan menentukan lokasi pelupusan sisanya selewat-lewatnya pada 2 Mac lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Khairy memberitahu Dewan Rakyat tahun lepas bahawa lesen Lynas akan ditarik balik jika ia gagal memulakan pembangunan tapak pelupusan sisa itu setahun selepas keputusan melanjutkan lesennya.

Lesen operasi Lynas Corp yang dijadualkan tamat pada 3 Mac tahun lepas dilanjutkan tiga tahun lagi sehingga 2 Mac 2023.

Wong Tack menggesa Khairy supaya berpegang pada janjinya dan membatalkan lesen Lynas dengan berkata, penangguhan keputusan tersebut merupakan “penghinaan” terhadap kedaulatan undang-undang.

“Pengurusan sisa radioaktif bukan perkara main-main. Setakat ini terdapat hampir satu juta tan sisa radioaktif yang dihasilkan dan disimpan di kilang Lynas.

“Tetapi hingga ke hari ini, kita masih terbelit dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) berhubung isu berusia 10 tahun melibatkan lokasi tapak pelupusan sisa Lynas,” katanya.

Beliau juga menggesa JAS supaya mengetepikan laporan penilaian alam sekitar (EIA) Lynas berhubung tapak pelupusan di Bukit Ketam, terutamanya kerana ia merupakan kawasan tadahan air.

“Kita tidak perlu menjadi pakar sains angkasa lepas untuk menyedari bahawa langkah menempatkan tapak sisa radioaktif di kawasan tadahan air untuk lebih 700,000 keluarga adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.

Lynas Corp adalah syarikat yang menjadi kontroversi kerana kilangnya yang beroperasi di Kuantan, Pahang ada menjalankan operasi pengurusan sisa nadir bumi.

Perlombongan dan langkah memproses nadir bumi merupakan proses paling berbahaya kepada alam sekitar berbanding aktiviti perlombongan lain, kerana ada sisa radioaktif akan terbentuk.

Ia akan menyebabkan kesan alam sekitar serius jika tidak diuruskan dengan sempurna.

BBerkaitan

Latest articles