Kerajaan Dalam Proses Perbicncangan Hantar Pulang Warga Palestin – Fahmi

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang dalam proses penyelarasan untuk menghantar pulang warga Palestin yang dibawa ke negara ini bagi tujuan perubatan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan diselaraskan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan bersama Kerajaan Mesir dalam terdekat.

“Hari ini jemaah menteri dimaklumkan mengenai beberapa perbincangan, koordinasi sedang dilakukan oleh Kementerian Luar dan juga Kementerian Pertahanan untuk berhubung dengan Kerajaan Mesir bagi mengusahakan penghantaran pulang warga Palestin,” katanya dalam sidang media hari ini.

Fahmi berkata proses ini sedang berjalan dan pada masa sama segala perkhidmatan perubatan akan terus diberikan dan pihak kerajaan yang memandang serius dari segi kebajikan mereka yang telah dibawa untuk tujuan perubatan di Malaysia.

“Kita serahkan kepada kedua-dua kementerian itu untuk diselaraskan dan diuruskan perbincangan sama ada akhirnya (mereka) dihantar pulang melalui Mesir ataupun melalui negara lain akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Pada Isnin lalu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, insiden kekecohan melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) baru-baru ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi tindakan lanjut.

Pada 4 Januari lalu, tular sebuha video memaparkan sekumpulan pelarian Palestin mengadakan protes di Wisma Transit di Kuala Lumpur, dipercayai berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan pemprosesan permohonan bagi kembali ke Mesir.

Kejadian sama pernah berlaku pada Oktober tahun lalu, di bangunan sama membabitkan dua wanita Palestin kerana tidak berpuas hati apabila mereka dilarang meninggalkan bangunan itu atas faktor keselamatan.

Pada 16 Ogos 2024, Malaysia telah membawa masuk seramai 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL.

BBerkaitan

Latest articles