PARLIMEN — Kerajaan akan terus komited untuk mencari penyelesaian berkaitan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui perbincangan bersama Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian pada sesi soal jawab lisan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya lagi, perbincangan lanjut itu akan diadakan semasa lawatan khas empat hari Sheikh Khaled ke negara ini sehingga 24 Mei.
“Penyelesaian 1MDB dengan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) membabitkan hasil tambahan kepada negara AS$1.8 bilion (RM8.05 bilion) dan Putera Mahkota hadir (ke negara ini) untuk meneruskan langkah perbincangan ini termasuk soal pelaburan,” katanya.
Anwar memberi penjelasan ketika menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang bertanyakan tentang dasar-dasar baharu dan drastik yang sudah dilaksanakan sejak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.
Sebelum ini, dua firma pelaburan Abu Dhabi, (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB.
Semalam, Sheikh Khaled tiba di tanah air bagi memulakan lawatan khas empat hari ke Malaysia hingga 24 Mei.
Ia merupakan lawatan sulung baginda ke Malaysia sejak ditabal sebagai Putera Mahkota Abu Dhabi dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi pada 29 Mac lalu.
Keberangkatan tiba baginda di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 8.42 malam disambut oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lawatan khas baginda diharapkan dapat memperkukuhkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 September 2022.
Sheikh Khaled dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri bagi bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai isu merangkumi hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa semasa pertemuan itu, hari ini.