Kerajaan Beri Jaminan Tiada Lagi PKP, Sekatan Pulang Beraya

BERA: Tiada lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujarnya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan jika berlaku peningkatan kes di sesuatu kawasan terbabit sahaja, dan sektor ekonomi dan sosial serta pergerakan merentas negeri telah dibenarkan kembali seperti biasa.

“Sudah ada orang yang buat spekulasi macam-macam, termasuk kononnya tak boleh balik raya kerana kes meningkat semula sejak beberapa hari lepas, namun jangan bimbang, kita tidak akan tutup lagi seluruh negara, atau negeri atau daerah kerana jaminan sudah diberikan.

“Pergerakan rakyat juga seperti biasa, tetapi kita akan memfokus kepada kawasan sasaran yang banyak berlaku penularan kerana kita ada PKPD. Jika kampung itu yang dikenakan PKPD, maka mereka dari kampung itu sahaja yang tidak boleh pulang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bera di Pejabat Kemas Bera.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata cadangan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dibentang dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan turut dihadiri wakil parti-parti pembangkang.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan cadangan SOP itu secara terperinci, kerana keutamaan adalah untuk mengelakkan berlaku peningkatan kes positif COVID-19 akibat PRN itu, selain turut mengambil kira jumlah kes baharu yang kembali mencecah 4,000 kes sejak beberapa hari lepas.

“Kita tidak boleh selesa dan perlu terus membendung (penularan COVID-19) walaupun kita mengatakan perlu hidup dengan COVID-19 pada masa depan. Kita mengharapkan supaya kes terus menurun sehingga bawah 1,000 supaya kita boleh mengumumkan Malaysia sebagai endemik, bukan lagi pandemik.

“Kita serahkan kepada KKM untuk menentukan SOP secara terperinci dan saya boleh memanggil mesyuarat sidang khas MKN untuk membincangkannya,” kata Ismail Sabri.

PRN Johor perlu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa semalam selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran selepas menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Artikel BerkaitanLagi artikel dari penulis

BBerkaitan

Latest articles