Kerajaan Beri Jaminan Bekalan Beras Cukup Untuk Tempoh Lima Bulan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 820,482 tan metrik beras tempatan direkodkan sehingga 3 Oktober lalu, dan mampu menampung keperluan bagi tempoh empat hingga lima bulan mendatang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah tersebut termasuk 250,000 tan metrik stok penimbal kerajaan dan 570,482 tan metrik stok dagangan.

Mohamad menjelaskan sebanyak 708,978 kampit BPT 10 kilogram (kg) telah diedarkan di seluruh Semenanjung melalui rantaian peruncit seperti pasar raya, rantaian, premis serta outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Edaran berkenaan dibuat melaui Program Khas BPT.

Terdahulu katanya, kenaikan harga beras import secara mendadak di dunia dan larangan eksport oleh India antara faktor pelaksanaan penyelarasan harga jualan beras putih import (BPI).

Jelas beliau, tanpa penyelarasan itu Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dijangka akan mengalami kerugian pada hujung tahun ini.

“Bernas juga dijangka hilang kemampuan untuk berkongsi 30 peratus keuntungan bersih pengimportan dengan pesawah sehingga membawa implikasi negatif kepada kerajaan.

“Walau bagaimanapun, harga jualan BPI akan diselaraskan oleh Bernas dari semasa ke semasa tertakluk kepada harga pasaran beras global (FOB) dan kadar nilai tukaran mata wang,” katanya di sesi penerangan berkenaan isu bekalan beras putih tempatan (BPT) di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, Bernas melaksanakan pelarasan harga jualan BPI daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuat kuasa pada 1 September yang lalu.

Inisiatif tersebut sejajar dengan harga terkini BPI di pasaran antarabangsa.

Mengulas lanjut katanya lagi, pelarasan tersebut menyebabkan permintaan BPT meningkat secara mendadak dengan harga kawalan RM2.60 sekilogram (kg).

“Ini memberi tekanan kepada permintaan terhadap BPT di pasaran. Selain itu, penurunan hasil pengeluaran padi tempatan atas pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim dan serangan penyakit,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles