KUALA LUMPUR: Serangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin berterusan, dengan kali ini mendakwa ia sebagai sebuah kerajaan diktator kerana menghalang teguran umum.
Ujarnya lagi apa yang dilakukan Anwar sewaktu berada di kerusi pembangkang jauh lebih teruk sehingga melibatkan kerosakan harta.
“Kita berhak untuk menyatakan perasaan tidak puas hati, bukan sahaja kerana kita orang Melayu tapi sebab kita rakyat Malaysia. Rakyat berhak tegur kerajaan.
“Kerajaan yang halang teguran ini adalah kerajaan diktator, yang tak beri orang ramai tegur kerajaan. Walhal masa dia bukan kerajaan, buat demonstrasi tiap-tiap minggu. Angkat kereta, buang dalam longkang.
“Kita takda niat nak buat macam itu. Kita ikut peraturan, tapi masih juga tak dibenar adakan perjumpaan sesama kita,” katanya sebagai mengulas pembatalan perhimpunan Proklamasi Melayu yang sepatutnya disertai beliau, pada sidang media, semalam.
Perhimpunan Proklamasi Melayu anjuran Sekretariat Tanah Air yang dirancang semalam terpaksa dibatalkan selepas tiga kali bertukar lokasi kerana tidak mendapat kebenaran.
Menurut Mahathir, pihaknya tidak diberitahu sebab-sebab pembatalan, justeru beliau memberi bayangan ia dibuat atas arahan Perdana Menteri.
Pada masa sama, Mahathir juga mendakwa Kerajaan Perpaduan hanya ingin menonjolkan diri sebagai hero dalam melawan rasuah, namun ia hanya ditujukan kepada parti lawan.
“Mereka yang dari kerajaan, kita sedar mereka juga terlibat dengan rasuah terutamanya UMNO yang berbelanja cukup banyak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.
“Tetapi kita lihat kerajaan yang ada sekarang ini cuma tumpu (kepada) parti lawan sahaja, seolah-olah mereka tidak terlibat dengan rasuah. Sebaliknya, kita tahu mereka juga terlibat.
“Inilah keadaan yang terdapat dalam negara kita sekarang ini. Rakyat Malaysia berhak untuk tegur kerajaan tapi kerajaan ini bukan tak bagi tegur sahaja, kalau parti lawan (mereka) nak ambil tindakan, (mereka) tangkap masukkan kedalam jel supaya pada pilihan raya akan datang tak ada parti lawan.
“Cuma ada parti kerajaan sahaja supaya dapat menang tanpa bertanding, itulah yang kerajaan ada sekarang ini,” katanya lagi.