More

    Kerajaan Akan Siasat Punca Rakyat Malaysia Terhalang Dari Pulang Dari Singapura

    Kerajaan akan ambil langkah segera untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura selepas sempadan kedua-dua negara terpaksa ditutup akibat penularan wabak COVID-19.

    Menurut berita Berita Harian Online, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia pada dasarnya tidak pernah menyekat mereka untuk kembali ke negara ini tetapi perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Kerajaan akan menyiasat apa punca yang menghalang mereka daripada pulang sampai terpaksa hidup bergelandangan di negara republik itu.

    “Wisma Putra akan membantu, dalam apa juga bentuk pertolongan diperlukan. Mereka sepatutnya pulang ke tanah air jika berdepan kesulitan di sana.

    “Kami sedang menyiasat, apa sebenarnya punca yang menyukarkan golongan terbabit untuk pulang, dan seterusnya memberi apa juga bantuan diperlukan,” katanya menurut laporan berkenaan.

    BACA JUGA – Timbang Untuk Bubar Parlimen – Azalina

    Hishammuddin diminta mengulas tentang ratusan rakyat Malaysia yang kini di Singapura hidup bergelandangan susulan penutupan sempadan negara.

    Kos sara hidup tinggi di negara itu membuatkan mereka yang selama ini berulang alik dari Johor Bahru terpaksa berehat dan tidur di bangku taman awam, masjid atau menumpang mandi di pejabat.

    Difahamkan, ramai tidak mengambil peluang skim Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) untuk pulang bercuti dan bertemu keluarga di negara ini berikutan pelbagai kekangan, termasuk dari segi kewangan, selain terikat dengan peraturan dikenakan majikan.

    Pekerja juga dikatakan tidak dibenarkan bercuti panjang berikutan bebanan kerja ketika penularan COVID-19, selain perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebelum dibenar masuk ke Malaysia dan sebelum dibenarkan masuk kembali ke Singapura.

    Hishammuddin berkata kementerian masih memerlukan penjelasan sebenar berhubung senario berkenaan.

    “Apakah ia membabitkan prosedur kuarantin di rumah atau apa sebenarnya (yang menghalang).

    “Jika itu faktor sebenar, saya boleh berbincang dengan kementerian berkaitan untuk membantu,” katanya.

    Beliau menegaskan, tiada larangan sekiranya mereka terbabit mahu pulang semula ke Malaysia.

    “Mereka tidak dilarang untuk kembali,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini