Keputusan Zahid Bebas Sepenuhnya Atau Sebaliknya Diketahui Hari Ini

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini bakal mengetahui sama ada beliau akan dibebaskan sepenuhnya atau terus berdepan status kes melibatkan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dijadual ditentukan oleh Mahkamah Tinggi susulan permohonan pihak pembelaan agar Presiden UMNO berkenaan diberikan pembebasan penuh (DNA), berbanding kekal dengan status dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang diberikan sebelum ini.

Prosiding hari ini akan didengar oleh Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor, yang turut dijangka meneliti hujahan peguam bela serta sebarang bantahan daripada pihak pendakwaan.

Peguam utama beliau, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, sebelum ini memaklumkan permohonan pembebasan penuh dibuat susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menurutnya, langkah AGC tersebut sepatutnya membuka ruang kepada mahkamah untuk melepaskan Ahmad Zahid sepenuhnya daripada semua 47 pertuduhan, yang merangkumi 12 tuduhan pecah amanah, 8 tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sebelum ini diberikan perintah DNAA pada 4 September 2023.

Justeru, pihak pembelaan berhujah adalah tidak wajar pertuduhan itu terus tergantung tanpa kepastian tempoh penyelesaiannya.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad memohon agar pendengaran ditangguhkan atas alasan notis permohonan baharu diterima pihaknya.

Susulan itu, mahkamah mengarahkan pihak responden memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya 13 Februari lalu dan menetapkan hari ini untuk mendengar penuh permohonan tersebut.

Pada 8 Januari lalu, AGC menerusi kenyataan media mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap semua 47 pertuduhan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, pada 12 Januari menegaskan keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap enam representasi yang dikemukakan Ahmad Zahid.

Menurut beliau, siasatan tambahan oleh SPRM turut meliputi aspek sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana Yayasan Akalbudi.

Hasil penelitian itu, jabatan mendapati bukti sedia ada tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan.

BBerkaitan

Latest articles