Keputusan Tolak PKR, DAP Masih Terpakai, Dakwaan Anwar Tak Benar?

Dasar Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang menolak PKR dan DAP masih terpakai, demikian tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud perbincangan di antara dua parti berkenaan untuk bekerjasama.

Dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook, Shahril menegaskan keputusan UMNO menolak kerjasama dengan BERSATU tidak bermakna ia mesti bekerjasama dengan parti lain.

Dalam pada itu beliau berkata sidang media yang diadakan oleh Anwar itu merupakan haknya untuk berbuat demikian, apatah lagi selama ini Presiden PKR itu tidak henti-henti mendakwa beliau ada majoriti di Parlimen, namun sehingga kini belum terbukti.

Tegas Shahril, UMNO tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri dan berusaha keras memenangi keyakinan rakyat.

Matlamat UMNO tentunya untuk memenangi sokongan rakyat dengan tawaran dan visi yang lebih baik dari pesaing, ujarnya.

Ini kerana tanpa sokongan rakyat, UMNO tidak akan mampu beroleh kedudukan dominan seperti mana diharapkan seluruh pejuang parti yang berpegang teguh kepada sejarah dan potensi UMNO untuk terus mendepani perjuangan agama, bangsa dan tanahair.

Cakap-cakap mengenai kerjasama UMNO-PKR dalam mendepani PRU15 mula bertebaran setelah UMNO mengambil keputusan tidak bekerjasama dengan BERSATU.

Menerusi wawancara pada hujung minggu lalu, Anwar memberi gambaran bahawa adanya hasrat untuk UMNO dan pihaknya untuk bekerjasama.

Namun Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang perkara tersebut.

Latest articles

Related articles

spot_img