KUALA LUMPUR: Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Keputusan itu diumumkan Mahkamah Pilihan Raya Melaka hari ini, menerusi Hakim Abu Bakar Katar yang menolak petisyen difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid.
Abdul Hakim, pada Januari lalu mendakwa wujudnya unsur rasuah berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi ketika kempen PRU15.
Pada PRU15 yang berlangsung pada 19 November tahun lalu, Mas Ermieyati mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG).
Mas Ermieyati memperoleh 25,604 undi, Abdul Hakim (21,193), Mutalib (7,445) dan Handrawirawan (507) sekaligus mendapat undi majoriti 4,411 dan menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga.