KUALA LUMPUR: Kedudukan MIC sebagai parti komponen Barisan Nasional bakal diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadual berlangsung pada Januari tahun depan.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata isu berkenaan tidak berkait dengan perhimpunan agung mana-mana parti, sebaliknya akan ditentukan melalui mekanisme rasmi gabungan berkenaan.
Menurut beliau, status UMNO dan MIC dalam BN adalah setara, justeru sebarang keputusan perlu dibuat di peringkat tertinggi BN.
“Kita akan adakan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Januari dan ketika itu keputusan muktamad mengenai MIC akan ditentukan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan terus kekal atau meninggalkan BN.
Namun, Presiden MIC, S A Vigneswaran, memaklumkan bahawa tiga usul termasuk cadangan keluar daripada BN telah diterima dan kini diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk penelitian lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menggesa perwakilan dari Sabah agar turun membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag, memandangkan tarikh kempen bertindih dengan perhimpunan agung parti.
Beliau menegaskan komitmen jentera parti amat penting bagi memastikan BN mampu mempertahankan sokongan rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan.










