Keputusan Mahkamah Semalam Bantu Baik Pulih Imej Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Johor menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, selain satu kelegaan buat parti, perkembangan membabitkan Ahmad Zahid itu merupakan satu peluang baik untuk mengembalikan imej Presiden UMNO itu untuk mengemudi parti ke arah yang lebih baik di masa akan datang.

“Satu keputusan yang saya yakin memberi satu kelegaan kepada pimpinan UMNO di setiap peringkat. Keputusan pendakwa raya untuk tidak meneruskan prosiding dengan mengemukakan 11 hujah dan alasan juga bagi Pemuda UMNO Johor jelas menunjukkan bahawa segala pertuduhan yang dihadapi beliau sebelum ini adalah bersifat politik dan cubaan salah guna badan kehakiman untuk menjatuhkan UMNO.

“Untuk itu, wibawa, imej serta kredibiliti UMNO yang diketuai beliau diharap akan menjadi lebih baik demi untuk memastikan UMNO dapat kembali menawan minda dan hati orang Melayu melalui segala usaha dan ikhtiar baiknya,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Semalam, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan.

Terdahulu, Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi kesemua pertuduhan.

Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid sebelum ini dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2018, manakala perbicaraan bermula pada 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan.

Pada April lalu, Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan itu.

Representasi melebihi 200 muka surat yang dihantar terus kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun yang mana representasi tersebut mengandungi asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri digugurkan.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya memerlukan masa yang mencukupi bagi meneliti representasi panjang lebar lebih 200 muka surat yang mengandungi isu kompleks berkaitan pertuduhan.

BBerkaitan

Latest articles