KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan daripada Kabinet sebagai langkah yang dibuat secara tergesa-gesa.
Menurut Anwar, isu berkaitan penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah masih belum dibincangkan sepenuhnya dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Peguam Negara baru tiga hari lalu membawa perkara ini untuk dirujuk. Esok baharu Kabinet akan bermesyuarat bagi meneliti dan memuktamadkan pendirian kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Malaysia Digital Sabah di Pasar Taman Semarak, hari ini.
Anwar menjelaskan, kerajaan tidak boleh bertindak secara terburu-buru kerana setiap keputusan perlu melalui proses perundangan yang sah.
“Secara peribadi saya lebih cenderung untuk tidak merayu, tapi kita perlu mendengar dulu penjelasan Peguam Negara serta meneliti penghakiman yang baru diterima tiga hari lalu,” ujarnya.
Tambah beliau, sebagai pemimpin, sebarang tindakan kerajaan tidak boleh dipengaruhi tekanan politik atau sentimen semasa.
“Kadang-kadang bila ada desakan dan kempen berasaskan emosi, kita jadi panik. Tapi kerajaan perlu berpaksikan fakta dan undang-undang. Saya faham keresahan rakyat Sabah, namun proses mesti dilalui dengan betul,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan, kerajaan MADANI kekal komited melaksanakan dasar yang berpandukan undang-undang serta memastikan Sabah terus menikmati peruntukan yang lebih kukuh berbanding sebelum ini.










