Kepimpinan baharu UMNO berdepan cabaran pulihkan imej parti – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Enam pilihan raya negeri yang akan diadakan selepas Jun nanti merupakan cabaran pertama barisan kepimpinan baharu UMNO.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata tanggungjawab kepimpinan baharu ini adalah memulihkan keyakinan pengundi Melayu terhadap UMNO.

Katanya kepimpinan baharu UMNO ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan maruah parti pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Tambah hisomuddin lagi, kepimpinan UMNO yang baharu juga mempunyai tanggungjawab untuk menyusun strategi bagi mendapatkan kembali sokongan pengundi Melayu pada PRU16.

“Tanggungjawab paling besar ialah bagaimana kepimpinan ini yang dikatakan majoritinya orang presiden yang tunduk kepada hala tuju parti untuk mereka memulihkan keyakinan semula UMNO katanya kepada Astro Awani.

Sementara itu, hisomuddin juga berpendapat dalam tempoh lima tahun ini, mereka yang menang ini menggalas tanggungjawab untuk mengisi ruang kemenangan dalam kerajaan.

“Kepimpinan baharu ini juga perlu menterjemahkan semula keyakinan secara keseluruhan kerana UMNO mempunyai tamparan hebat kerana pencapaiannya kini hanyalah 26 kerusi UMNO daripada 30 kerusi parlimen yang dimiliki BN.

“Maka dengan beban yang ada ini sudah tentu mereka tidak boleh toleh ke belakang lagi.

“Datuk Seri Zahid dan juga seluruh kepimpinan UMNO yang menang kali ini perlu untuk merencana strategi bagi memulihkan keyakinan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya

Tambah beliau lagi keputusan pemilihan UMNO ini merupakan cerminan suara akar umbi yang mahukan kepimpinan yang boleh seia dan sekata dengan hala tuju parti.

“Harapan dan cerminan suara akar umbi adalah mengharapkan UMNO ini kurang kontroversi dan juga perkara yang boleh mengganggu keputusan tertinggi.

“Akar umbi mahukan mereka yang menerajui parti iaitu presiden, timbalan presiden, naib presiden dan MKT untuk membuat keputusan memacu dan juga menentukan hala tuju UMNO ke hadapan.

“Kali ini presiden dan timbalan presiden mempunyai pasukan impian untuk membawa UMNO dan memulihkan kembali reputasi UMNO dalam pilihan raya umum yang lalu,” katanya lagi.

Latest articles

Related articles

spot_img