Kenyataan Rasmi UMNO Hanya Datang Dari Presiden, Setiausaha Agung – Zahid

 

Ahli-ahli akar umbi UMNO dan rakyat secara keseluruhannya diminta untuk merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden atau Setiausaha Agung bagi sebarang dasar atau ketetapan parti dalam sesuatu perkara.

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merujuk kepada kepelbagaian pendapat yang dilaporkan dan dinyatakan oleh beberapa pemimpin parti sehingga menimbulkan kekeliruan.

Ujarnya, tindakan sedemikian memberi kesan tidak baik kepada UMNO, seolah-olah ia telah hilang arah tuju politiknya.

Zahid menambah beliau sendiri tidak menggunakan kuasa mutlaknya sebagai Presiden untuk memutuskan sesuatu keputusan, dimana ia perlu dilakukan secara berjemaah dengan kepimpinan di dalam parti.

Memetik wawancaranya bersama Malaysia Gazette, ujar Zahid, setelah berbincang dengan semua kepimpinan parti, ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju tetapi akhirnya mereka membuat keputusan agar ‘setuju untuk bersetuju’ dan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.

“Kenyataan yang dibuat oleh Presiden dan Setiausaha Agung adalah kenyataan rasmi tetapi ada di kalangan kepimpinan yang menggunakan kenyataan peribadinya seolah-olah ia pendapat parti.

“Yang terbaiknya saya hendaklah menutup ‘mulut tempayan’ ini… keputusan peribadi jangan dijadikan pendapat parti… saya nasihatkan mereka agar jangan mengelirukan rakan-rakan di akar umbi,” katanya.

Merujuk kepada kerjasama UMNO dan parti-parti lain, ujar Zahid, UMNO secara jelas membuat pendirian yang ahli-ahli parlimennya menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Pun begitu, tegasnya, UMNO tidak pernah menyertai mana-mana gagasan Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘parti gabungan’.

Pada masa yang sama, katanya, UMNO juga mempunyai wadah politik yang dipanggil sebagai Muafakat Nasional.

“Antara yang diputuskan adalah UMNO dan Pas tidak akan berlaga sama sendiri dalam kerusi yang dipertandingkan jika ada pilihan raya, kita juga akan guna lambang masing-masing dan ‘chemistry’ mesti diwujudkan di kalangan jentera parti.

“Justeru tidak boleh dibenarkan ada perkara yang boleh memusnahkan penyatuan ini, baik dari luar mahu pun dari dalam parti,” tegasnya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,802FollowersFollow
20,900SubscribersSubscribe

Terkini