KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mencadangkan umat Islam menangguhkan ibadat haji bagi mengutamakan kemenangan politik Islam disifatkan boleh mengelirukan masyarakat dan perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk penilaian lanjut.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan bahawa pandangan tersebut seolah-olah membawa satu ‘fatwa baharu’ yang boleh mengganggu kefahaman hukum syarak dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Ibadat haji adalah fardu ain, manakala mengundi dalam pilihan raya adalah fardu kifayah. Maka apabila kedua-duanya bertembung, yang wajib secara individu (fardu ain) seperti haji perlu diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook malam tadi.
Beliau menambah, hanya dalam keadaan tertentu, hukum mengundi boleh menjadi fardu ain, contohnya jika tidak mengundi membawa kepada mudarat besar kepada umat, namun penetapan itu perlu datang daripada autoriti agama seperti Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
“Situasi itu sama seperti ketika hukum jihad diisytiharkan sebagai fardu ain apabila negara diserang. Maka ia wajib difatwakan oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama, Mohd Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri turut mengulas pandangan para fuqaha (ahli fikah) yang menyatakan haji wajib disegerakan jika cukup syarat, berbeza dengan jihad yang hukumnya fardu kifayah kecuali apabila ada seruan rasmi daripada pemerintah.
“Apabila bertembung antara kewajipan haji yang bersifat fardu ain dengan jihad yang bersifat fardu kifayah, maka wajib diutamakan fardu ain,” jelasnya.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan media memberi bayangan bahawa umat Islam di Malaysia sepatutnya mendahulukan usaha mencapai kemenangan politik berbanding menunaikan haji dan umrah.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa kemenangan politik adalah keutamaan yang tidak boleh ditangguhkan kerana Islam memerlukan kuasa untuk mentadbir dunia, selaras dengan firman Allah yang menekankan pemerintahan berlandaskan syariat.