​’Kenapa Rahsiakan?’ – Guan Eng Persoal Tindakan Kerajaan Enggan Dedah Rekod Saham Azam Baki

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mengkaji semula keputusan enggan mendedahkan rekod pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki demi memelihara integriti dan akauntabiliti negara.

​Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen berhubung perkara itu amat mengecewakan.

​Menurutnya, pendirian kerajaan yang menyatakan rekod tersebut bukan dokumen awam adalah bertentangan dengan prinsip asas ketelusan serta menimbulkan persoalan terhadap komitmen membanteras rasuah.

​”Tiada sebarang alasan yang munasabah untuk merahsiakan maklumat tersebut atau enggan mendedahkan rekod pegangan saham berkenaan. Perkara ini jelas melibatkan kepentingan awam berkaitan integriti dan kejujuran pegawai tertinggi pencegahan rasuah negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

​Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP menjelaskan, Azam sebelum ini mencetuskan kontroversi berhubung urus niaga pembelian saham bagi tempoh 2012 hingga 2026 apabila jumlah nilai pegangannya didakwa melebihi RM100,000.

​Ujar beliau, jumlah tersebut jelas melanggar Pekeliling Kerajaan 2024 yang mengehadkan penjawat awam daripada memiliki pegangan saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai melebihi RM100,000.

​​Mengulas lanjut, Guan Eng turut kesal dengan keengganan pihak kementerian untuk mendedahkan dapatan siasatan serta tindakan sewajarnya yang telah dilaporkan kepada Jemaah Menteri oleh pasukan petugas khas.

​”Apa yang lebih dikesali ialah keengganan untuk mendedahkan dapatan siasatan serta apa yang disebut sebagai ‘tindakan yang sewajarnya’ terhadap kontroversi pegangan saham berkenaan.

​”Kerajaan mesti mengkaji semula keputusan yang silap ini dan menjelaskan apakah tindakan yang telah diambil terhadap beliau serta asas tindakan tersebut, jika ada,” tegasnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles