Kenapa Muhyiddin Tak Letak Jawatan Bila PN Kalah Di Melaka, Johor?

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mempamerkan sikap angkuhnya apabila mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan selepas gabungan pembangkang menang di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebaliknya mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri itu tidak pula berbuat demikian apabila PN kalah di Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka, sebelum ini.

“Muhyiddin angkuh bila suruh Zahid letak jawatan. Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor dia tidak letak jawatan. Dia kekal Presiden Bersatu sedangkan dia kluster mahkamah,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Desakan itu dibuat Muhyiddin, kononnya PRN Sabtu lalu adalah kejayaan besar PN meraih sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), selain mendakwa gabungan itu adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini.

Sementara itu mengulas mengenai desakan supaya Ahmad Zahid meletak jawatan selepas prestasi lemah Barisan Nasional (BN) di dalam PRN, Mohd. Puad bagaimanapun menegaskan ia bukan langkah penyelesaian.

“Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab.

“UMNO perlu dapat balik sokongan orang Melayu. Menteri-menteri UMNO mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.

“Sebab itu UMNO mesti kekal dalam Kerajaan Perpaduan. PH-BN perlu mengukuhkan kerjasama. Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah,” ujarnya

BBerkaitan

Latest articles