Kenaikan Harga Tiket Penerbangan Ke Sabah Akan Dikaji

KUALA LUMPUR: Memahami kesukaran rakyat, terutama mereka yang berasal dari Sabah untuk pulang ke kampung, kerajaan memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan pihak yang terlibat dalam industri bagi memastikan isu harga tiket dan masa penerbangan dapat ditangani.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian mengulas beberapa isu dan rungutan yang timbul dalam kalangan mereka yang hendak kembali dan pulang dari dan ke Sabah.

Menurut Ismail Sabri, usaha itu dibuat bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak lagi bimbang ketika hendak pulang ke kampung halaman pada musim perayaan akan datang.

“Kerajaan sentiasa peka dengan keluh-kesah Keluarga Malaysia termasuklah isu kenaikan harga tiket penerbangan yang tidak munasabah dan masa penerbangan ditunda ketika musim perayaan,” katanya ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sabah merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memenuhi aspirasi rakyat yang mahu pembelaan daripada aspek kesejahteraan, keamanan dan kebajikan.

Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan di perairan Sabah.

“Kerajaan turut menyedari pentingnya kerjasama antara negara jiran dalam mengawal sempadan negara yang kini terus diperketat kawalannya,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles