Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah memaklumkan penentuan penguatkuasaan kenaikan gaji baru bagi wakil rakyat dan exco kerajaan negeri akan diputuskan oleh Menteri Besar, selepas pindaan rang undang-undang (RUU) saraan diwartakan kelak.
“Itu menteri besar akan buat keputusan, terserah kepada beliau. Sebab itu saya tak sebut sebab menteri besar akan tentukan.
“Ia bermula apabila digazetkan,” katanya apabila diajukan bilakah kenaikan gaji baru yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini akan bermula.
Malah ditanya apakah kenaikan gaji itu akan dibayar secara undur tarikh (backdated), Mohd Amar menegaskan perkara itu juga akan duputuskan oleh Datuk Abdullah Yaakub.
“Itu tak tahulah, kita tunggu keputusan menteri besar. Kita nak jawab pun tak boleh.
“Tapi kalau backdated pun apa masalah? Semua jadi masalah, tak apa setakat wartawan saya boleh belanja. Yang penting tulis elok-elok,” katanya dengan nada berseloroh.
Untuk rekod, pada 9 November lalu, DUN Kelantan secara sebulat suara meluluskan RUU saraan anggota pentadbiran dan ahli-ahli dewan negeri pindaan 2020.
Ia dicadangkan oleh Mohd Amar sebagai suatu enakmen dengan tiga kali bacaan.
Cadangan itu, menurut Mohd Amar, dikemukan memandangkan situasi semasa yang mencabar buat para anggota pentadbiran dan wakil rakyat di Kelantan.
Malah ia juga bertujuan untuk menyelaraskan urusan gaji dan elaun seperti yang diperolehi di negeri-negeri lain.